Saturday, 9 March 2013

Mari Mencinta !


copy dari majalah Gen-Q (isu no.14)





Sketsa Satu
Cinta anugerah terindah. Setiap saat dirasakan seolah-olah berada berada di awang-awangan. Hidup benar-benar indah. Makan-cinta , mandi-cinta, duduk-cinta, hitam-cinta..... semuanya cinta! Tiada apa yang salah mengenai cinta
                Di matanya ada cinta. Di setiap hebusan nafasnya, ada cinta. Di setiap degup jantung dan denyut nadinya, ada cinta. Dalam setiap langkahnya, ada cinta. Dalam apa jua keadaan, ada cinta bersamanya. Bukankah indah cinta itu? Oh, jika dengan mu salah, ku tak mahu yang benar. Jika denganmu hanyut, biarlah aku lemas. Apa sahaja, gunung tinggi, sanggup ku daki. Lautan berapi, sanggup ku renangi. Onak berduri, sanggup ku redahi. Sebut apa sahaja, akan ku sanggupi diri ini.


                     Malang. Ini cinta arjuna dan ratna yang sepertinya tiada                  lain di dunia dan akhirat melainkan mereka.
 







Sketsa dua
Cinta anugerah terindah. Bertahun lamanya menyulam kasih. Namun, tiada siapa menduga. Kau pergi meninggalkan diri ini. Biar kini kusendiri, hatiku tetap kepadamu. Hatiku tetap untukmu.
Tiada yang lain. Setiap detik yang berlalu, setiap kali itulah segala kenangan menerjah masuk ke ruang memori. Kenangan diputar, terasa kau bersama. Walau kadang hati kesunyian, setiap pemberianmu menjadi teman setia, melerai rindu yang tak bertepian. Biar rindu menjadi teman. Kasih ku padamu takkan layu. Akan mekar terus menguntum dan mengharum.

Kasihan. Cinta aduka dan dewi yang tidak bertepian, terus dihanyutkan seolah-olah tidak menyedari ada cinta yang LEBIH UNGGUL.
 






Sketsa tiga
Cinta anugerah terindah. Alhamdulillah, cinta yang didamba akhirnya menjelma. Tetapi belum cinta sepenuhnya. Hasrat Cuma. Hati berbunga-bunga tatkala lamaran disuara. Bergegar tangkai hati saat si teruna menyuarakan hati. Bukan untuk bercinta! Tetapi, untuk terus berumah tangga. Biarlah tidak mengenali dengan mendalam, cukup sekadar taaruf ringkas. Hati cukup meyakini, Allah hadirkan rasa istimewa itu demi menyahut sunnah Rasulallah serta menunaikan amanah sebagai khalifah agar menghalalkan sebuah perhubungan demiNya.
                Namun, manusia tetap manusia. Punya naluri, punya rasa. Terkadang tingkah menguntum senyum di bibir. Terkadang bicaranya menenangkan di kala gusar. Acapkali hampir terbuai, namun kembali ke dunia nyata. Tiada apa yang mengasyikkan daripada kasihNya. Kerana kasihNya, maka hadir kasih-kasih yang lain.

Istiqamah. Walau hati mula dijentik rasa ‘asyik’ itu, sang teruna dan dara perlu muhasabah agar tidak hanyut dek rasa yang akhirnya berdosa.
 




Pentas utama
Cinta anugerah terindah. Tanpa cinta, mana mungkin kita akan hidup. Namun, persoalannya, siapakah pemilik cinta itu? Lupakah kita pada kalimat, Dia yang Maha Penyayang lagi Maha Pengasih? Siapa Dia? Allah! Dialah Pemilik cinta nan agung. Kerana cinta-Nya kepada makhluk-Nya, maka dihadirkan rasa kasih, rasa sayang dan rasa cinta ke dalam roh makhluk-Nya. Dia pinjamkan rasa kasih dan sayang-Nya agar kita punya rasa kasih kepada ibu bapa, anak-anak, suami, isteri, rakan, jiran, saudara seislam dan lain-lain. Tanpa pinjaman ini, tidak mungkin wujud istilah berkasih sayang dalam kehidupan kita. Malah, hidup kita tidak ceria dan tidak berwarni. Kusam, suram dan muram.
                Dalam ketiga-tiga sketsa yang dibentangkan, penulis pasti ada yang mengalaminya.  Ayuh kita balikkan segala madah rindu, nazam kasih, senandung rindu cinta yang melalaikan itu kepada yang Satu. Dia yang lebih berhak. Usah membenarkan yang sememangnya salah.  Kawal diri, pandu emosi. Ya, manusia tetap manusia. Punya naluri, punya rasa. Namun seimbangkan segala rasa. Bukankah kita perlu matang dalam merasa?
                Mencinta yang berhak, itu lebih afdal. Mencinta yang lain, itu sampingan. Usah nafikan kehadiran cinta, itu dusta. Usah membuang rasa cinta, itu bongkak. Buktikan cinta kepadaNYA. Lorongkan diri atas jalanNYA, jauhkan diri daripada persimpangan kemurkaan-Nya. Basahkan lidah dengan kalimah suci-Nya, tawadukkan hati dengan nikmat kurniaan-Nya. Hayatilah kasih Allah kepada kita dalam setiap saat hembusan nafas kita, kelak kita akan alpa dalam mencari cinta. Ayuh, mencintailah kerana-Nya kerana cinta-Nya yang mengekalkan cinta!


" Ya Allah, aku memohon cinta-Mu dan cinta mereka yang mencintai-Mu serta mencintai segala amalan yang mendekatkan diriku kepada diri-Mu "




notahati-siiparasit
gadis dalam koma 


No comments:

Post a Comment

okey, aku tahu yang inda ramai orang akan komen di sini.. by the way, thanks.. tapi, tolong pastikan, no harsh word yaa..